19 Januari 2011
KD Selangor, the sixth Meko 100 class for Royal Malaysia Navy (photo : new straits times)
PROJEK pembinaan kapal peronda generasi baru (NGPV) yang bermula pada 1999 akhirnya tamat dengan pentauliahan Kapal Diraja (KD) Selangor dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 28 Disember tahun lalu.
KD Selangor merupakan kapal peronda terakhir daripada enam kapal yang ditempah oleh kerajaan menerusi projek NGPV yang terpaksa memakan masa selama 10 tahun akibat krisis kegawatan ekonomi.
Dua buah kapal peronda dalam projek tersebut iaitu KD Kedah dan KD Pahang dibina di limbungan Blohm dan Voss Hamburg, Jerman manakala empat lagi iaitu KD Selangor, KD Perak, KD Terengganu dan KD Kelantan dibina oleh syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut, Perak.
"Projek pembinaan enam buah NGPV ini bermula pada 1999 tetapi tergendala akibat kelembapan ekonomi. Namun, kita dapat menyelesaikannya sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan 2010,'' kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pentauliahan KD Selangor di Pangkalan TLDM Lumut baru-baru ini.
Upacara penamaan dan pelancaran KD Selangor telah disempurnakan oleh anakanda Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah di Limbungan BNS di Lumut pada 19 Mei 2009.
Namanya diambil sempena nama kapal peronda KD Sri Selangor yang telah dilucutkan tauliah pada 1995.
Menurut Abdul Aziz, KD Selangor mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana ia merupakan kapal keempat dan terakhir dalam kelas Kedah yang dibina 100 peratus oleh syarikat tempatan.
"Pencapaian ini amat membanggakan industri perkapalan dan pertahanan negara," kata beliau.
Apa yang lebih penting, dengan kehadiran KD Selangor, TLDM kini mempunyai enam NGPV, sekali gus memperkukuhkan kekuatannya dalam membuat rondaan dan mempertahankan perairan negara daripada diceroboh anasir luar.
KD Selangor akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Lumut bersama dengan KD Kelantan manakala KD Kedah dan KD Pahang di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dan KD Perak serta KD Terengganu pula di Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang.
Semua kapal tersebut kini menjadi tulang belakang kepada segala operasi yang dilaksanakan di wilayah masing-masing, ujar Panglima Tentera Laut.
Untuk rekod, KD Selangor sepanjang 91.1 meter dan lebar 12.8 meter menggunakan sistem persenjataan STN Atlas Cosys 110-M1 dan senjata utamanya adalah meriam 76 milimeter (mm) OTO Melara dan meriam 30 mm OTO Breda.
Kapal tersebut dibina berkonsepkan 'fitted for but not with'. Ini bermakna, sistem dan peralatan sedia ada boleh diintegrasikan tanpa melalui proses modifikasi kompleks yang meningkatkan keupayaan peperangan pada kapal.
Pentauliahan KD Selangor juga mengembalikan kemasyhuran serta legasi kapal peronda KD Sri Selangor ketika pertempuran dengan Kor Komando Penggempur Indonesia di Selat Singapura pada 24 Julai 1964 pada era konfrontasi.
Dalam pertempuran itu, KD Selangor yang di bawah pemerintahan Leftenan P.K Nettur telah berjaya melumpuhkan musuh serta menenggelamkan bot mereka selepas membalas tembakan musuh.
Namun, kejadian itu mengakibatkan Laskar Kelas Satu Mekanik Elektrikal, Abdul Samad Sulaiman terkorban manakala Laskar Kanan Persenjataan, Kweh Onn Cheong dan Pegawai Kadet Kanan, Musa Jabar tercedera.
"Peristiwa itu membuktikan pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh anak-anak kapal KD Selangor dalam mempertahankan kedaulatan dan integriti perairan negara.
"Oleh itu, saya harap pentauliahan KD Selangor ini dapat mengingatkan kita kepada rumpun sejarah perpaduan antara anggota tentera laut dan akan membakar semangat sedia berkorban di kalangan generasi baru warga kapal KD Selangor khasnya dan warga TLDM amnya," kata Abdul Aziz.
(Utusan)
No comments:
Post a Comment
DISCLAIMER : KOMENTAR DI BLOG INI BUKAN MEWAKILI ADMIN INDONESIA DEFENCE , MELAINKAN KOMENTAR PRIBADI PARA BLOGERSISTA
KOMENTAR POSITIF OK